Wednesday 28 August 2019

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.
            Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara kita. Mata pelajaran ini wajib dipelajari oleh semua murid. Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah fasih berbahasa Melayu.
            Saya meminati mata pelajaran ini sejak belajar dalam tahun tiga lagi. Guru Bahasa Melayu saya ialah Puan Noraini. Beliau mengajar kami dengan baik. Oleh itu, saya dapat memahami pelajaran yang diajar oleh beliau.
            Mata pelajaran ini terbahagi kepada dua kertas. Dalam kertas satu, kami belajar tentang pemahaman dan tatabahasa seperti kata nama, kata ganda, kata kerja, peribahasa dan sebagainya. Kami juga perlu membaca dan menjawab soalan petikan dengan teliti.
             Dalam kertas dua pula, kami belajar menulis ayat, ulasan dan karangan. Kami belajar membina ayat tunggal dan ayat majmuk. Cikgu mengajar kami menulis ayat, ulasan dan karangan dengan betul.
            Pada masa lapang, saya suka membaca buku cerita dan surat khabar berbahasa Melayu. Semasa membaca, saya dapat mempelajari kosa kata yang baharu. Saya berharap agar dapat mencapai lapan A dalam UPSR nanti.
            

Wednesday 14 August 2019

Surat Tidak Rasmi

Anda telah meraikan satu perayaan bersama-sama keluarga baru-baru ini. Tulis sepucuk surat kepada sahabat anda untuk menceritakan pengalaman menyambut perayaan tersebut.

                                                                                         Joyce Lee Siew Ling,
                                                                                         28, Jalan Batas Baru,
                                                                                         20300 Kuala Terengganu,
                                                                                         Terengganu Darul Iman.

                                                                                         13 September 2019.

Menemui sahabatku, Salina yang kini berada di Kota Kinabalu, Sabah. Semoga saudari sihat dan gembira di sisi keluarga tersayang.

Saudari,
               Apa khabar saudari di sana? Saya di sini sihat-sihat sahaja. Baru-baru ini, saya telah menyambut Pesta Tanglung bersama-sama keluarga saya. Saya ingin berkongsi pengalaman dan detik-detik yang menggembirakan ini bersama-sama saudari.

               Pesta Tanglung merupakan hari perayaan yang akan disambut oleh masyarakat Cina pada bulan kelapan hari kelima belas setiap tahun mengikut kalendar Cina. Menjelang hari tersebut, ibu telah menempah kuih bulan yang pelbagai jenis perisa dan inti seperti kacang merah, kuning telur masin dan adunan biji teratai. Ibu juga membuat agar-agar kuih bulan sebagai pencuci mulut selepas makan malam pada hari tersebut.

               Tahukah saudari, saat-saat yang paling menyeronokkan adalah pada sebelah malam. Selepas makan malam, kami menyalakan tanglung di halaman rumah. Anak-anak jiran yang pelbagai kaum telah berkunjung ke rumah saya untuk bermain tanglung bersama-sama. Kami menyalakan tanglung dan menggantungkan tanglung-tanglung tersebut di sekeliling rumah.

               Selain itu, kami juga menyalakan lilin yang berwarna-warni untuk disusun dalam pelbagai bentuk. Suasana di rumah saya menjadi terang-benderang dan meriah sekali. Kata ayah, ini boleh membawa tuah dan kehidupan yang lebih baik kepada kami. Di samping itu, perayaan ini juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memupuk  perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.

               Alangkah baiknya jika saudari juga dapat meraikan pesta tanglung bersama-sama saya. Saya berharap agar saudari akan berpeluang untuk menyambut Pesta Tanglung dengan     rakan berbangsa Cina di tempat saudari pada tahun hadapan. Dapatlah saudari merasai keseronokan bermain tanglung dan lilin.

               Sekian sahaja coretan saya buat kali ini. Semoga kita boleh berjumpa lagi di lain lembaran. Sambutlah salam rindu daripada saya kepada saudari dan keluarga di sana.
              
Sekian, terima kasih.

                                                                                                                Yang benar,
                                                                                                                 Joyce Lee

                                                                                        

Monday 5 August 2019

Surat Tidak Rasmi

Anda akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi. Tulis sepucuk surat kepada abang anda yang kini menuntut di luar negara untuk menceritakan persediaan anda untuk menghadapi peperiksaan tersebut.

                                                                                Lim Kah Hui,
                                                                                No. 8, Lorong Bukit Setongkol 38,
                                                                                25200 Kuantan,
                                                                                Pahang Darul Makmur.
                                                                                             
                                                                                15 Mac 2019.

Menenui kakanda, Kah Hao yang kini berada di Melbourne, Australia. Semoga kakanda sihat sejahtera.

Kakanda yang dirindui,

               Apa khabar kakanda di sana? Adinda di sini sihat-sihat sahaja.
               Untuk makluman kakanda, adinda akan menduduki UPSR pada 3 September 2019. Adinda telah mula membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan ini bak kata pepatah, "sediakan payung sebelum hujan".
               Di sekolah, adinda sentiasa pasang telinga semasa guru sedang mengajar. Apabila adinda menghadapi masalah dalam pelajaran, adinda akan bertanya kepada guru ataupun kawan-kawan. Adinda juga menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru dengan bersungguh-sungguh.
               Selain itu, pihak sekolah telah mengadakan kelas tambahan khas untuk semua murid tahun enam selepas waktu persekolahan. Guru-guru mengajar kami secara percuma dan memberikan penerangan tambahan kepada kami agar kami benar-benar faham pelajaran yang telah disampaikan.
               Di samping itu, adinda juga belajar secara berkumpulan dengan Kelly, Batriesya dan Yoga pada setiap hari minggu di rumah. Kami membuat ulang kaji bagi subjek Sains dan Matematik. Cara pembelajaran ini amat berkesan dan banyak membantu adinda yang lemah dalam subjek Sains dan Matematik.
               Kakanda, adinda akan belajar dengan bersungguh-sungguh agar dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Adinda ingin mengikut jejak kakanda untuk melanjutkan pelajaran di menara gading. Kakanda berdoalah untuk adinda agar berjaya mencapai impian adinda ini.
               Sekian sahaja warkah adinda buat kali ini. Sambutlah salam rindu daripada bonda, ayahanda dan adinda untuk kakanda di sana. Sekian, terima kasih.


                                                                                                                                             Adindamu,
                                                                                                                                                   Kah Hui
                   

Friday 12 July 2019

Laporan - Lawatan Sambil Belajar ke Zoo Negara

Lawatan Sambil Belajar ke Zoo Negara
SJK (C) Chung Hwa Wei Sin

Pada 16 Jun 2019, Persatuan Bahasa Melayu SJK (C) Chung Hwa Wei Sin telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Zoo Negara. Rombongan ini telah disertai oleh 25 orang murid dan diiringi oleh 2 orang guru penasihat, Puan Suriati dan Puan Mona.
          Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid tentang haiwan di dunia dan kepentingan melindungi haiwan terutamanya haiwan yang semakin pupus.
          Rombongan kami bertolak dari pekarangan sekolah pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki bas. Kami tiba di destinasi pada pukul 10.30 pagi. Puan Mona memberikan taklimat ringkas sebelum membawa kami masuk ke dalam zoo. 
          Di Zoo Negara terdapat pelbagai jenis haiwan. Ada haiwan liar dan haiwan jinak. Kami dapat melihat haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat dan jelas. Haiwan-haiwan liar seperti harimau dan singa dikurung di dalam sangkar. Kecut hati kami kerana harimau mengaum tatkala kami mendekati sangkar itu. Kami juga melawat ke taman burung dan taman rama-rama. Kami dapat melihat pelbagai spesis unggas dan rerama di taman itu. Kami juga berpeluang untuk memberikan bijirin kepada burung-burung di taman itu.
           Setelah penat berjalan, kami menaiki kereta api mini untuk mengeliling zoo. Kami melihat kuda belang meragut rumput, badak sumbu berkubang di dalam lumpur dan orang hutan bergayut di atas pokok. Petugas zoo memberikan penerangan kepada kami tentang habitat dan ciri-ciri haiwan di sepanjang lawatan ini.
          Selepas makan tengah hari, kami melawat ke Akuarium Tunku Abdul Rahman. Di taman itu, kami dapat melihat pelbagai jenis spesis fauna dan flora akuatik yang unik. kami juga menyaksikan pertunjukkan singa laut yang menarik dan menghiburkan.
          Lawatan ini berakhir pada pukul 5.00 petang. Murid-murid telah memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman yang berharga hasil daripada lawatan ini. Kami berharap agar lawatan sambil belajar akan diadakan lagi pada masa hadapan.
         
          
Disediakan oleh,                                                                                13 JULAI 2019.

_Su How     
(ONG SU HOW)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
SJK (C) Chung Hwa Wei Sin.

Ucapan - Majlis Perpisahan Guru

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
          Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk menyampaikan ucapan dalam majlis ini. Saya mewakili rakan-rakan ingin menyatakan perasaan sedih dan berat hati untuk berpisah dengan Cikgu Rosnani yang kami sayangi.
Hadirin yang dihormati,
          Cikgu Rosnani akan menjalankan tugas sebagai pendidik di sekolah baharu, iaitu SJK (C) Chung Hwa mulai minggu hadapan. Cikgu Rosnani merupakan seorang guru yang bertanggungjawab dan berdedikasi. Beliau juga pandai mengambil hati murid-murid di dalam kelas. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada pihak sekolah dan murid-murid.
          Jasa dan pengorbanan Cikgu Rosnani kepada kami tidak ternilai harganya. Beliau banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada kami. Selain itu, beliau sentiasa mengambil berat tentang pelajaran kami dan sanggup meluangkan masa untuk mengadakan kelas tambahan kepada murid-murid yang lemah dalam subjek bahasa Melayu.
          Saya mewakili semua murid mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Rosnani. Kami amat menghargai segala usaha dan jasa cikgu. Kami berjanji akan belajar dengan bersungguh-sungguh agar mencapai keputusan yang cemerlang dalam mata pelajaran bahasa Melayu.
          Kami juga ingin meminta maaf daripada cikgu atas segala kesilapan yang telah kami lakukan sepanjang cikgu mendidik kami. Kami berdoa agar cikgu gembira bertugas di sekolah baharu dan jangan lupakan kami di sini.
          Sebelum mengakhiri ucapan ini, izinkan saya sampaikan serangkap pantun.
                                   Pisang emas dibawa belayar,
                                   Masak sebiji di atas peti;
                                   Hutang emas boleh dibayar,
                                   Hutang budi dibawa mati.
Sekian, terima kasih.

Thursday 11 July 2019

Bina Ayat - Cara-cara Menjaga Kesihatan

1. Kita mesti makan makanan yang seimbang agar badan kita mendapat semua khasiat yang  diperlukan.

2. Kita perlu mendapatkan tidur yang berkualiti agar bersemangat untuk melakukan aktiviti pada keesokan hari.

3. Kita hendaklah menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memastikan badan kita sentiasa sihat.

4. Kita harus menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal kerana kebersihan merupakan asas kesihatan.

5. Kita mesti rajin bersenam supaya badan kita cergas dan minda kita cerdas.

Syarahan : Kepentingan Bersukan


Selamat pagi saya ucapkan kepada tuan pengerusi majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru besar, guru-guru dan rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah "Kepentingan Bersukan".

Sukan merujuk kepada segala  kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga seperti berenang, bermain bola, berjoging, berbasikal dan sebagainya. Bersukan ialah satu aktiviti yang baik kerana boleh mendatangkan banyak kebaikan kepada kita. Kita boleh bersukan di mana-mana sahaja. Misalnya di padang, taman rekreasi ataupun di rumah.

Hadirin sekalian,

Bersukan boleh menyihatkan badan kita. Semasa menjalankan aktiviti sukan, badan kita akan mengeluarkan bahan kumuh yang tidak diperlukan oleh tubuh dalam bentuk air peluh. Selepas berpeluh, kita akan berasa segar dan lebih bersemangat. Kita tidak akan mudah dijangkiti penyakit berjangkit seperti batuk dan selesema. Jika badan kita cergas, minda kita juga akan menjadi cerdas. 

            Di samping itu, bersukan membolehkan kita mengekalkan berat badan yang ideal. Semasa bersukan, kita boleh menegangkan otot-otot dan membakar lemak dalam badan. Dengan itu, kita dapat mengelakkan penyakit obesiti justeru menghindari penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, kencing manis dan sakit buah pinggang.

Para hadirin yang dikasihi,

            Aktiviti sukan juga boleh mengisi masa lapang kita dengan berfaedah. Kita tidak akan terperuk di dalam rumah atau terjerumus dalam kegiatan yang tidak sihat seperti merokok, berjudi dan melepak.

            Sebaliknya, kita dapat berkenalan dengan kawan-kawan baharu serta memupuk perpaduan kalangan masyarakat berbilang kaum semasa menjalankan aktiviti sukan. Sebagai contoh, pemain-pemain dalam pasukan akan bekerjasama untuk memenangi sesuatu perlawanan tanpa mengira bangsa dan agama. 

             Pendek kata, budaya bersukan sewajarnya dipraktikkan oleh semua lapisan masyarakat dalam kehidupan harian. Tepuk dada, tanya selera. Sekian, terima kasih.

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...